Monday, 14 March 2011

Tumbuhan pembersih udara

Pokok lidah jin mampu
membersihkan udara
Tanpa kita sedari, ruang rumah dan pejabat kita dpenuhi dengan toxin-toxin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebab itulah kadang-kadang kita balik dari pejabat dengan sakit-sakit kepala,, batuk dan sebagainya.  Ini adalah kerana udara dipenuhi dengan toxin-toxin yang dibebaskan dari barang-barang pejabat seperti dakwat, detergent, carpet, asbestos siling dan barangan plastik.

Satu kajian telah dijalankan oleh NASA dan telah didapati bahawa tumbuhan dalam rumah atau houseplants berupaya untuk membersihkan udara di dalam rumah dan pejabat, setanding dengan air purifier dengan kos yang  jauh lebih rendah! Antara tumbuhan-tumbuhan yang didapati membersihkan udara adalah:
  1. Pokok lidah jin
  2. Ficus (selalu dijadikan bonsai)
  3. Pokok duit / tapak kuda (golden pothos)
Saya sendiri telah meletakkan satu pasu di dalam pejabat.  Sekurang-kurangnya, bersihlah sedikit udara di bilik pejabat saya tu.  Udaranya pun menyegarkan.  Menjadi peneman pelengkap pertukaran Oksigen dan Karbon Dioksida di pejabat.

Tanamlah seberapa banyak pokok.  Kurangkan pemanasan global.

Bumi kita hanya satu.

Tuesday, 8 March 2011

Tenaga Solar | Sumber yang boleh diperbaharui dan mampu dimiliki

Kuasa elektrik merupakan sumber yang sangat penting.  Tanpa elektrik, adalah sukar untuk kita meneruskan kesinambungan hidup di Bumi ini.

Malangnya, majoriti sumber elektrik ini datang daripada stesen janakuasa yang tidak mesra alam, seperti janakuasa arangbatu, petrol dan hydroelektrik.  

Arangbatu dan petrol membebaskan haba serta Karbon Dioksoda (CO2) yang menjadi penyumbang kepada pemanasan global.

Hydroelektrik juga tidak mesra alam?

Ya.

Berapakah hidupan sungai dan hutan yang telah terkorban dalam proses membina empangan hydroelektrik? sudah tentunya sedikit sebanyak ia mengganggu ekosistem di Bumi.

Oleh itu, ahli sains mula beralih kepada sumber yang boleh diperbaharui atau renewable energy.  Dan tenaga boleh diperbaharui yang paling popular adalah daripada tenaga matahari.  Walaupun kajian tentang tenaga solar ini telah lama dijalankan, ia masih lagi dianggap baru kerana masih belum banyak lagi yang diketahui tentang mengoptimakan penggunaan cahaya matahari tersebut.  Bagaimanapun apa yang penting, ia adalah satu sumber tenaga yang bersih, mesra alam dan tidak mencemarkan Bumi.

Disini saya menyenaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan tenaga solar:

Kelebihan:
  1. Tiada pencemaran.  Pencemaran yang terhasil hanyalah ketika pembuatan panel di kilang, penghantaran dan ketika pemasangan.
  2. Menghasilkan elektrik dengan senyap.
  3. Mampu menjana tenaga elektrik di kawasan pedalaman, sebagai contoh, rumah panjang di Sarawak.
  4. Pemasangan panel solar lebih kos efisien berbanding pemasangan wayar elektrik.
  5. Mampu menjadi sumber tenaga yang efisien di seluruh dunia, dan teknologi baru (dalam bidang solar) membenarkan penghasilan elektrik walaupun ketika cuaca mendung.
  6. Panel solar boleh dipasang pada apa jua jenis bumbung rumah.
  7. Walaupun kos pemasangan agak tinggi, ia mampu memberikan tenaga elektrik secara percuma selama bertahun-tahun.  Panel solar Gred A mampu bertahan selama 20 tahun.
  8. Manusia akan kurang bergantung kepada petrol, dan ini menyumbang kepada persekitaran yang lebih mesra.

Keburukan

  1. Buat masa kini, kos untuk satu panel solar yang efisien boleh mencecah melebihi RM 3, 500.00.  Kadangkala, ada rumah yang memerlukan dua panel.  Ini menyebabkan kos permulaan penggunaan tenaga solar adalah sangat tinggi.  Bagaimanapun, harga panel solar telah menjunam dan tidak lama lagi, tiada halangan untuk menggunakan panel solar bagi pengguna biasa.
  2. Tenaga solar hanya mampu menghasilkan elektrik pada waktu siang.  
  3. Cuaca boleh mempengaruhi efisiensi panel solar.
  4. Pencemaran boleh memberi kesan kepada efisiensi panel solar.
Sungguhpun begitu, pada pendapat saya tenaga solar pada waktu kini adalah mampu dimiliki.  Mulakanlah dengan langkah yang kecil (menggunakan charger telefon solar?) dan kemudian, buatlah satu anjakan yang lebih besar.  Kini, dengan RM 338, kita mampu untuk sekurang-kurangnya menerangi porch kereta pada waktu malam dengan tenaga solar!

Tuesday, 1 March 2011

Kereta Hybrid Proton

Lotus Evora 414E Hybrid | Proton - Lotus
Penggunaan kereta memang tidak boleh dinafikan kepentingannya.  Kereta hybrid tidak mengabaikan kepentingan manusia untuk bergerak, malah ia sangat mesra alam!

Kereta hybrid menggabungkan penggunaan bateri dan petrol.  Untuk jarak dan kelajuan tertentu, kereta akan menggunakan kuasa bateri.  Ini bukan sahaja menjimatkan kos untuk membeli petrol (harga juga semakin hari semakin meningkat), bahkan ianya mesra alam kerana penggunaan bateri sememangnya tidak menghasilkan Karbon Dioksida (CO2) yang mencemar dan memanaskan Bumi.

Proton telah pun menghasilkan enjin hybrid prototype dengan kerjasama Lotus pada Februari 2010 dan masih lagi dalam proses pengujian.  Pada Oktober 2010, Pengarah Urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata pihaknya perlu mendapatkan maklum balas positif daripada pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum memasarkannya secara besar-besaran.

Toyota Prius Hybrid
Toyota telah lama mengeluarkan kereta hybridnya yang paling popular iaitu Toyota Prius Hybrid.  Walaupun ada beberapa isu seperti kos penyelenggaraan (yang agak mahal) dan sebagainya, pada pandangan saya, ia adalah sebuah projek jangka panjang.  Buat masa ini, harganya agak mahal tetapi apabila teknologi tersebut semakin matang dan dapat diterima majoriti masyarakat dunia, sudah tentunya kos akan menurun (teringat harga 4MB RAM sewaktu upgrade PC Windows 3.1 dahulu).  

Ada beberapa pihak yang mempertikaikan bateri yang digunakan tidak selamat dan tidak mesra alam kerana ia adalah logam reaktif.  Tetapi bateri kereta konvensional juga mengandungi logam reaktif.

Ada juga beberapa pihak yang membuat pengiraan dan mendapati bahawa jumlah wang yang dibelanjakan untuk (kereta konvensional + petrol) dan (kereta hybrid + kos penyelenggaraan) adalah sama.  Ya, jumlah wang yang dibelanjakan adalah sama tetapi sumbangan anda terhadap kesinambungan kehidupan di Bumi adalah berbeza.

Seperti yang saya nyatakan tadi, kereta hybrid adalah sebuah projek jangka panjang.  Ia harus dimulakan.  Dan ia harus dimulakan sekarang, demi Bumi kita yang satu.

Bumi kita hanya 1.  Selamatkanlah ia sebelum terlambat.

Sunday, 20 February 2011

Earth Hour 2011


Saya rasa, semua orang sudahpun tahu apa itu Earth Hour.  Ia adalah kempen kesedaran untuk menangani isu pemanasan global.

Saya mula mengikuti program Earth Hour sejak dari tahun 2008 lagi.  Waktu tu, belum ada pun lagi iklan di Malaysia.  

Pada pendapat saya, ia satu yang amat bermanfaat.  Hanya tutupkan suis lampu untuk 60 minit sahaja.  Ia nampak seperti usaha yang kecil, tetapi sesungguhnya ia memberikan kesan yang amat besar kepada Bumi kita.  Sekalipun anda bukan seorang pencinta alam sekitar, anda tidak rugi apa-apa pun. Jimat elektrik bukan?

Tutup lampu, boleh selamatkan Bumi? Ya. Kenapa?

  • Walaupun kebanyakan negara sudah memperkenalkan stesen janakuasa elektrik menggunakan hydroelektrik, masih banyak lagi yang menggunakan janakuasa arangbatu. Ya, membakar arang untuk mendapatkan tenaga.  Tutupkan lampu, maka permintaan/ demand untuk penggunaan elektrik berkurang.  Maka kuranglah penggunaan arangbatu.  Sekurang-kurangnya, dapatlah Bumi kita berehat sebentar.
  • Lampu, sekalipun ia berjenis kalimantang, tetap membebaskan haba.  Tutupkan lampu, maka haba berkurang. Sedikit sebanyak melambatkan pemanasan global yang semakin menular.  Kalau satu dunia tutupkan lampu, banyak haba yang boleh kita kurangkan, bukan?
Mari kita lihat, berapa banyak karbon dioksida (CO2) yang menjadi penyumbang utama pemanasan bumi, yang dapat kita hindarkan sewaktu Earth Hour, berdasarkan pengiraan teori disini.

*CO2 dikira berdasarkan kepada pengeluarannya di stesen janakuasa elektrik.

Jika 27 juta rakyat Malaysia bersama-sama menutupkan sebiji lampu 60 watt selama 1 jam:

27 juta x 60 watt x 1 jam = 1 620 juta watt/jam
Ia bersamaan dengan 1, 620, 000 kilo Watt per jam atau kWH

1 kWH menghasilkan 0.75kg CO2

1, 620, 000 kWH adalah bersamaan dengan 1, 215 tan CO2

Maka dengan menutupkan sebiji lampu 60 watt selama 1 jam, rakyat Malaysia sebenarnya telah berjaya menyumbang kepada pengurangan CO2 sebanyak 1, 215 tan.


Sedikitkah 1, 215 tan CO2 tu?  
Sebenarnya, BANYAK.
Anda memerlukan 6,075 batang pokok untuk meneutralkan semula CO2 tersebut!

Amat menyedihkan bagi saya kerana di Malaysia, kesedaran tentang menyelamatkan Bumi masih belum meluas.  Masyarakat belia lebih cenderung bercerita tentang politik, berbanding menyelamatkan Bumi.

Berilah peluang Bumi kita untuk berehat.  Selamatkan Bumi kita.  
Kita cuma ada 1 Bumi.

Jom jayakan Earth Hour!

26 MAC 2011
20:30 - 21:30


Friday, 18 February 2011

Permulaan



Alhamdulillah.

Lahirnya blog ini adalah untuk saya dedikasikan kepada Bumi kita yang telah pun berusia 4.54 billion (4 540 000 000) tahun.  Sesungguhnya Bumi kita ini sudah tua tetapi dalam masa yang sama, terpaksa mengharungi banyak cabaran, pencemaran oleh tangan-tangan manusia.  Dari sudut Islam, manusia diturunkan ke Bumi adalah sebagai khalifah, untuk mentadbir Bumi ini dengan sebaik-baiknya.  Maka tulisan saya di dalam blog ini hanyalah suara dan usaha kecil saya untuk cuba menyelamatkan Bumi ini daripada terus dirosakkan (atas nama kemajuan), dan menjadikan Bumi kita ini tempat yang selamat, selesa dan makmur untuk didiami.

Kita cuma ada satu Bumi.