Sunday, 20 February 2011

Earth Hour 2011


Saya rasa, semua orang sudahpun tahu apa itu Earth Hour.  Ia adalah kempen kesedaran untuk menangani isu pemanasan global.

Saya mula mengikuti program Earth Hour sejak dari tahun 2008 lagi.  Waktu tu, belum ada pun lagi iklan di Malaysia.  

Pada pendapat saya, ia satu yang amat bermanfaat.  Hanya tutupkan suis lampu untuk 60 minit sahaja.  Ia nampak seperti usaha yang kecil, tetapi sesungguhnya ia memberikan kesan yang amat besar kepada Bumi kita.  Sekalipun anda bukan seorang pencinta alam sekitar, anda tidak rugi apa-apa pun. Jimat elektrik bukan?

Tutup lampu, boleh selamatkan Bumi? Ya. Kenapa?

  • Walaupun kebanyakan negara sudah memperkenalkan stesen janakuasa elektrik menggunakan hydroelektrik, masih banyak lagi yang menggunakan janakuasa arangbatu. Ya, membakar arang untuk mendapatkan tenaga.  Tutupkan lampu, maka permintaan/ demand untuk penggunaan elektrik berkurang.  Maka kuranglah penggunaan arangbatu.  Sekurang-kurangnya, dapatlah Bumi kita berehat sebentar.
  • Lampu, sekalipun ia berjenis kalimantang, tetap membebaskan haba.  Tutupkan lampu, maka haba berkurang. Sedikit sebanyak melambatkan pemanasan global yang semakin menular.  Kalau satu dunia tutupkan lampu, banyak haba yang boleh kita kurangkan, bukan?
Mari kita lihat, berapa banyak karbon dioksida (CO2) yang menjadi penyumbang utama pemanasan bumi, yang dapat kita hindarkan sewaktu Earth Hour, berdasarkan pengiraan teori disini.

*CO2 dikira berdasarkan kepada pengeluarannya di stesen janakuasa elektrik.

Jika 27 juta rakyat Malaysia bersama-sama menutupkan sebiji lampu 60 watt selama 1 jam:

27 juta x 60 watt x 1 jam = 1 620 juta watt/jam
Ia bersamaan dengan 1, 620, 000 kilo Watt per jam atau kWH

1 kWH menghasilkan 0.75kg CO2

1, 620, 000 kWH adalah bersamaan dengan 1, 215 tan CO2

Maka dengan menutupkan sebiji lampu 60 watt selama 1 jam, rakyat Malaysia sebenarnya telah berjaya menyumbang kepada pengurangan CO2 sebanyak 1, 215 tan.


Sedikitkah 1, 215 tan CO2 tu?  
Sebenarnya, BANYAK.
Anda memerlukan 6,075 batang pokok untuk meneutralkan semula CO2 tersebut!

Amat menyedihkan bagi saya kerana di Malaysia, kesedaran tentang menyelamatkan Bumi masih belum meluas.  Masyarakat belia lebih cenderung bercerita tentang politik, berbanding menyelamatkan Bumi.

Berilah peluang Bumi kita untuk berehat.  Selamatkan Bumi kita.  
Kita cuma ada 1 Bumi.

Jom jayakan Earth Hour!

26 MAC 2011
20:30 - 21:30


Friday, 18 February 2011

Permulaan



Alhamdulillah.

Lahirnya blog ini adalah untuk saya dedikasikan kepada Bumi kita yang telah pun berusia 4.54 billion (4 540 000 000) tahun.  Sesungguhnya Bumi kita ini sudah tua tetapi dalam masa yang sama, terpaksa mengharungi banyak cabaran, pencemaran oleh tangan-tangan manusia.  Dari sudut Islam, manusia diturunkan ke Bumi adalah sebagai khalifah, untuk mentadbir Bumi ini dengan sebaik-baiknya.  Maka tulisan saya di dalam blog ini hanyalah suara dan usaha kecil saya untuk cuba menyelamatkan Bumi ini daripada terus dirosakkan (atas nama kemajuan), dan menjadikan Bumi kita ini tempat yang selamat, selesa dan makmur untuk didiami.

Kita cuma ada satu Bumi.